Alhamdulillah, tahun ini dipertemukan lagi bulan yang sentiasa dinanti-nantikan, bulan yang menjanjikan pahala yang berganda-ganda atas segala kebajikan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan.
Namun bagi ku, inilah kali pertama ku menjalani ibadah puasa ini tanpa suami disisi. Hari ini merupakan hari yang ke 23 ianya pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya. Namun ku tetap redho atas ketentuanNya. Memang musibah itu pahit di dunia dan moga ia manis di akhirat. Tentu ada hikmah dari ketentuan ini. Aku sedar, akulah pengganti dirinya untuk terus menerajui kehidupan keluargaku. Hanya kepadakulah tempat anak-anak ku bergantung dan berkongsi masalah jika ada, semoga tiada masalah besar yang tidak mampu untuk ku harungi. InsyaAllah, akan ku kuatkan semangatku, cekalkan hati, bersabar dan tidak akan melayani perasaan yang negatif, maklumlah dalam keadaan seperti ini....... berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Hidup perlu diteruskan mengikut kemampuan yang ku miliki.
Kawan-kawan, saudara mara, jiran tetangga, anak-anak murid ku serta siapa sahaja yang mengenali ku, terima kasih atas ucapan takziah dan keperihatinan kalian untuk ku dan keluargaku. Sesungguhnya, kalianlah yang memberi semangat untuk ku meneruskan hidup ini.
Ketaqwaan akan terus digenggam dan Quawwah akan terus dicari bukan sahaja dengan penantian tapi dengan usaha dan tindakan, insyaAllah....
Masa tetap berlalu, kini tiba sudah bulan Ramadan. Wahai semua umat islam, penuhilah bulan ini dengan mengerjakan suruhan yang telah ditetapkan seikhlas hati. Jadikan bulan ini bulan yang penuh penjimatan bukan bulan pembaziran. Tingkatkan amalan jauhi sifat-sifat keji.
Selamat berpuasa ........
Selamat berberbuka ..........
0 comments:
Post a Comment